Pada suatu hari Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda : “Hendaklah kamu berada di dalam dunia seolah-olah kamu orang berdagang, atau orang yang sedang melalui jalan (pengembara). Jika kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu menunggu pagi. Apabila berada pada waktu pagi, janganlah kamu menunggu petang. Gunakanlah masa sihatmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk masa matimu”. (Riwayat Bukhari daripada Ibn Umar). Hadis ini merupakan peringatan penting daripada Rasulullah s.a.w supaya kita sedar bahawa kehidupan ini hanya sementara. Tiada siapa mengetahui bila akan dipanggil mengadap Ilahi. Oleh kerana itu kita mesti sentiasa bersedia dan tidak bertangguh melakukan kebajikan. Harta yang ada juga bakal kita tinggalkan tetapi apakah tindakan kita hari ini untuk memastikan harta tersebut kekal untuk keluarga dan diri kita di akhirat kelak ?

Merancang pusaka merupakan usaha murni untuk memastikan kelancaran pentadbiran harta pusaka, iaitu mengelak harta beku dalam tempoh yang lama dan mengekalkan bentuk harta tanpa terpecah kepada banyak bahagian. Oleh itu, harta akan lebih berpotensi untuk dimajukan. Merancang pusaka boleh mengelak persengketaan dan menjamin keadilan. Waris juga terlindung dari penyelewengan pihak lain yang tidak amanah, contohnya penipuan penuntut hutang dan penyelewengan penama. Selain memberi manfaat kepada waris-waris, seorang mukmin yang merancang pusaka juga hakikatnya telah merancang untuk ketenangannya di akhirat. Hutang-hutang, sama ada dengan manusia atau Allah seperti haji, zakat dan sebagainya akan disempurnakan oleh pemegang amanah (wasi) yang dilantik. Peranan wasi ini bolehlah diumpamakan seperti wakil arwah untuk menyempurnakan segala urusan hingga selesai.

Harta yang diwariskan apabila dimajukan menyumbang pada kesenangan ahli waris, Insya Allah pahala akan berkekalan kepada kita di alam kubur. Apatah lagi jika perancangan melibatkan peruntukan sejumlah harta untuk amal kebajikan seperti wasiat dan wakaf. Dengan kata lain, perancangan pusaka juga adalah modal yang keuntungannya kekal dinikmati di akhirat kelak.

Di kalangan orang Melayu, perancangan pusaka jarang menjadi agenda penting dalam diari kehidupan, mungkin kurang pengetahuan tentang kaedah dan strategi perancangan atau tidak menyedari akan kepentingan merancang pusaka. Ramai juga yang tidak menyangka bahawa ada kesan negatif yang akan timbul jika pusaka tidak dirancang. Walaubagaimanapun, ada juga yang membuat perancangan tetapi tak kena cara dan akhirnya mengundang padah . Contohnya pemberian harta semasa hidup. Walaupun tindakan ini baik kerana anak-anak tidak bersengketa apabila harta telah dibahagikan oleh orang tua sebelum meninggal dunia tetapi ia tetap berisiko. Sekiranya nasib tidak baik, harta akan habis dibelanjakan oleh anak-anak sehingga tidak memikirkan keadaan ibu dan bapa.

bersambung...

0 comments:

Post a Comment

About this blog

O : 03-4149 1192
F : 03-4142 4962
M : 012-303 5096
E : hj_azizhassan@yahoo.com

Followers

Search This Blog