Semakin hari kita semakin sibuk menungkah arus dunia sehingga terkadang kita terleka dgn persiapan ita menuju menghadap Yang Maha Abadi.. dimana kita bakal dipersoalkan mengenai llima perkara diatas dunia antaranya persoalan mengenai harta, dari mana kamu dapat dan kemana telah kamu belanjakan.. inilah soalan yang paling berat yang akan ditanyakan oleh Rabbul Jalil. persoalannya sudahkah kita membeuat persediaan untuk menghadapinya??
Didalam blog ini, saya akan muatturun artikel yang berkaitan dengan pusaka yang telah saya sumbangkan kepada majalah dan akhbar beberapa tahun yang lampau. Mungkin anda bleh memanafaatkan ilmu disebalik cerita-cerita tersebut.
Sehubungan itu andai ada persoalan didada mengenai isu HARTA PUSAKA, bolehlah sahabat semua kongsikan bersama, supaya dapat kita bincangkan dan mudah-mudahan Allah membuka ruang penyelesaian..

Insya Allah..
abdazizhassan@gmail.com ataupun postkan sahaja soalan anda di ruangan comment dan tinggalkan email anda untuk saya menghantarkan jawapannya...

Jazakumullahu Khairan Kasiira..

Mohidin seorang Muslim yang cukup sederhana hidupnya. Beliau bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah gedung kain di Kuala Lumpur. Berkat usaha gigihnya menyimpan wang secara cermat dan berdikit-dikit, beliau telah berjaya membeli sebuah rumah secara tunai dan dapat menyara hidup anak dan isteri dengan baik.

Mohidin telah meninggal dunia pada tahun 1965 dengan meninggalkan dua orang isteri dan sepuluh (10) orang anak, waris-waris Mohidin tidak sepakat tentang pembahagian harta pusaka dan sehingga kini pun, pusaka beliau tidak dapat diselesaikan walaupun kedua-dua isteri dan enam orang anaknya telah meninggal dunia.

Rumah peninggalan Mohidin sekarang telah pun usang dan menjadi sarang penagih dadah. Anggaran rumah tersebut bernilai lebih kurang RM2.0 juta kerana ia terletak di kawasan komersial di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Jika kita melihat kepada situasi yang berlaku di atas, salah satu sebab harta pusaka Mohidin tidak dapat diselesaikan ialah kerana waris-waris yang ditinggalkan oleh beliau memiliki bahagian yang terlalu kecil dan proses penyelesaian pusaka terlalu remeh serta mahal kos guamannya. Akhirnya tiada waris-waris berbuat apa-apa.

Sebenarnya, nasib sebegini banyak berlaku kepada harta pusaka orang-orang Melayu kita, sama ada di bandar-bandar besar mahupun di pekan-pekan kecil. Inilah di antara sebabnya mengapa nilai harta pusaka yang belum diselesaikan menjangkau lebih kurang RM3.0 billion.

Di negara ini, kebanyakan umat Islam masih menganggap perancangan pusaka bukanlah suatu keperluan kerana penyelesaian pusaka adalah urusan mereka yang ditinggalkan dan bakal mempusakai harta pusaka. Apatah lagi apabila isu perancangan pusaka ini berkait rapat dengan soal kematian. Ada yang berkata, “masalah hidup pun tak terurus, mana ada masa nak fikir pasal masalah mati”.

Selain itu, tahap pengetahuan masyarakat terhadap strategi perancangan pusaka juga menjadi faktor mereka tidak merancang. Alasan yang biasa dikemukakan ialah kerana hukum faraid telah tersedia, mengapa mesti merancang pusaka?

Selain itu, ramai umat Islam beranggapan untuk merancang perlu membuat wasiat. Wasiat tujuannya untuk kebajikan, bagaimana kalau harta hanya cukup untuk keluarga? Selain itu, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris, jika berwasiat kepada waris, persetujuan waris amat diperlukan. Ada juga yang masih kabur degan fungsi wasiat. Apatah lagi apabila mendapat tahu Akta Wasiat 1959 di Malaysia ini tidak terpakai kepada orang Islam.

Terdapat juga segelintir masyarakat Islam zaman dahulu yang membuat perancangan , namun tidaklah secara formal dan berbentuk dokumen sebagaimana hari ini. Contohnya pemberian Hibah dan Wasiyyah secara lisan. Ini disebabkan kecenderungan terhadap perancangan adalah minimum. Tahap ekonomi masyarakat pada ketika itu tidak memungkinkan mereka memiliki harta yang banyak. Ditambah dengan institusi kekeluargaan yang kukuh mengurangkan risiko persengketaan dalam keluarga.

Oleh yang demikian, pentadbiran pembahagian pusaka pada ketika itu lebih mudah. Ada juga di antara mereka yang mengikut pesanan arwah semasa hidupnya tentang pertikaian berkenaan pemberian tersebut, isu pembuktian sukar dikemukakan di Mahkamah.

bersambung...

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda : “Hendaklah kamu berada di dalam dunia seolah-olah kamu orang berdagang, atau orang yang sedang melalui jalan (pengembara). Jika kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu menunggu pagi. Apabila berada pada waktu pagi, janganlah kamu menunggu petang. Gunakanlah masa sihatmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk masa matimu”. (Riwayat Bukhari daripada Ibn Umar). Hadis ini merupakan peringatan penting daripada Rasulullah s.a.w supaya kita sedar bahawa kehidupan ini hanya sementara. Tiada siapa mengetahui bila akan dipanggil mengadap Ilahi. Oleh kerana itu kita mesti sentiasa bersedia dan tidak bertangguh melakukan kebajikan. Harta yang ada juga bakal kita tinggalkan tetapi apakah tindakan kita hari ini untuk memastikan harta tersebut kekal untuk keluarga dan diri kita di akhirat kelak ?

Merancang pusaka merupakan usaha murni untuk memastikan kelancaran pentadbiran harta pusaka, iaitu mengelak harta beku dalam tempoh yang lama dan mengekalkan bentuk harta tanpa terpecah kepada banyak bahagian. Oleh itu, harta akan lebih berpotensi untuk dimajukan. Merancang pusaka boleh mengelak persengketaan dan menjamin keadilan. Waris juga terlindung dari penyelewengan pihak lain yang tidak amanah, contohnya penipuan penuntut hutang dan penyelewengan penama. Selain memberi manfaat kepada waris-waris, seorang mukmin yang merancang pusaka juga hakikatnya telah merancang untuk ketenangannya di akhirat. Hutang-hutang, sama ada dengan manusia atau Allah seperti haji, zakat dan sebagainya akan disempurnakan oleh pemegang amanah (wasi) yang dilantik. Peranan wasi ini bolehlah diumpamakan seperti wakil arwah untuk menyempurnakan segala urusan hingga selesai.

Harta yang diwariskan apabila dimajukan menyumbang pada kesenangan ahli waris, Insya Allah pahala akan berkekalan kepada kita di alam kubur. Apatah lagi jika perancangan melibatkan peruntukan sejumlah harta untuk amal kebajikan seperti wasiat dan wakaf. Dengan kata lain, perancangan pusaka juga adalah modal yang keuntungannya kekal dinikmati di akhirat kelak.

Di kalangan orang Melayu, perancangan pusaka jarang menjadi agenda penting dalam diari kehidupan, mungkin kurang pengetahuan tentang kaedah dan strategi perancangan atau tidak menyedari akan kepentingan merancang pusaka. Ramai juga yang tidak menyangka bahawa ada kesan negatif yang akan timbul jika pusaka tidak dirancang. Walaubagaimanapun, ada juga yang membuat perancangan tetapi tak kena cara dan akhirnya mengundang padah . Contohnya pemberian harta semasa hidup. Walaupun tindakan ini baik kerana anak-anak tidak bersengketa apabila harta telah dibahagikan oleh orang tua sebelum meninggal dunia tetapi ia tetap berisiko. Sekiranya nasib tidak baik, harta akan habis dibelanjakan oleh anak-anak sehingga tidak memikirkan keadaan ibu dan bapa.

bersambung...

About this blog

O : 03-4149 1192
F : 03-4142 4962
M : 012-303 5096
E : hj_azizhassan@yahoo.com

Followers

Search This Blog